Monday, 5 August 2013

Tidur selepas subuh/waktu pagi penghalang rezeki?


Sungguh masyhur di kalangan Melayu mengenai hadis larangan tidur selepas subuh kerana dipercayai tertutupnya pintu rezeki. Memang diakui hadis ini sering dimainkan di bibir-bibir pelbagai golongan terutamanya ibu-bapa yang mempunyai anak-anak yang gemar tidur selepas waktu Subuh walaupun tidak mengetahui kedudukan sebenar hadis tersebut.

Kedudukan hadis:
Hadis ini adalah palsu. Hadis ini dilabelkan palsu oleh al-Hasan Ibn Muhammad al Shoghoni dan disokong oleh ahli hadis masa kini Abd. Fattah Abu Ghuddah. Manakala antara ulama yang melabelkan hadis ini sebagai sangat dhaif pula ialah al-Haitami, Ahmad Syakir, Muhammad Nasiruddin Albani dan Syuaib al Arnaouth.

Mungkin larangan ini disandarkan dengan pendapat Ibn Abbas  yang melarang anaknya tidur selepas Subuh, lalu berkata : “ Ini waktunya Allah membahagi-bahagikan rezeki” – dinukilkan oleh al-Hafiz Ibn Qayyim dalam at-Thibb an-Nawawiy

Pendapat ini memang benar tetapi tidak mempunyai larangan dari Rasulullah SAW sendiri dan tidak boleh dijadikan dalil yang qat’ie tentang larangan tidur pada waktu pagi. Namun perkara ini amatlah tidak disukai oleh para ulama’ Salaf.

Kemudian persoalan tidur waktu pagi sebagai punca terhalangnya rezeki adalah persoalan yang sangat besar kerana untuk menyatakan mana-mana perkara sebagai penghalang rezeki memerlukan hujah dan dalil yang kuat daripada Al-Quran dan hadis sahih

Sekiranya digunakan logik akal sekalipun, bagaimana orang yang bekerja pada waktu malam, adakah mereka dilarang untuk tidur selepas Subuh. Bukankah larangan tersebut menjadi sesuatu kesusahan buat mereka? Di mana hilangnya konsep Islam sebagai agama yang mudah? Perlu diingat yang hal yang tiada pada zaman salaf maka fiqhnya akan berubah. Maka kesimpulannya, tidur selepas subuh adalah dibolehkan dan tiada larangan bagi mereka yang memerlukan namun perbuatan tidur selepas Subuh  tidak disukai oleh para ulama’ Salaf.

Rujukan dan Kredit:
Website: http://hafizfirdaus.com/ebook/20asashadis/isu20.htm
Twitter: @fahmirusliMFR / @SafIbnRahman
Facebook:  Ad- Dien

No comments:

Post a Comment

KopyKanan milik pengemudi nakhoda kami