Saturday 27 December 2014

Banjir : Bala vs Strategi

Sudut pandang yang menarik mengenai isu banjir oleh Bro Abu Amru :
Di zaman Nabi Yusuf, Allah pernah turunkan 'bencana' kemarau selama 7 tahun berturut-turut kepada penduduk Mesir.
Di zaman Zul Qarnain, sekumpulan penduduk mengadu sering diganggu oleh 'bencana' yang dipanggil Ya'juj dan Ma'juj.
Dalam kedua-dua kisah berkenaan, Allah 'mengajarkan' kepada kita cara menghadapi 'bencana' dengan ikhtiar solusi yang kreatif.
Ia usaha yang masih berada dalam 'kemampuan' insan.
Nabi Yusuf mengemukakan idea penjimatan, berhemah menggunakan bahan makanan dan tempoh menyimpan makanan kering selama 7 tahun sebagai persediaan menghadapi kemarau panjang pada 7 tahun berikutnya.
Zul Qarnain mengemukakan idea membina tembok tinggi lagi kukuh yang diperbuat dari campuran besi dan tembaga.
Hasilnya, penduduk-penduduk berkenaan telah berjaya mengelak dari musibah yang sudah diketahui kehadirannya.
♢♢♢♢♢♢♢♢♢♢♢♢♢♢♢♢♢♢♢
Nampaknya, dakwaan 'setiap bencana adalah kerana maksiat manusia' telah menghalang manusia dari memikirkan penyelesaian secara kreatif.
Fikiran seakan telah dibiuskan dan hanya mampu melihat saja bencana yang melanda saban tahun.
Tuhan itu memang menurunkan hujan.
Namun manusia masih berpeluang mengusahakan sesuatu untuk meringankan bencana, jika tidak mampu mengelak dari seluruh bala.
Solusinya, mungkin dengan memperbaiki sistem saliran. Mungkin dengan membina lagi empangan simpanan tambahan? Atau cara lain?
Asasnya ialah politik atau siyasah adalah ikhtiar menzahirkan kebajikan untuk rakyat atau usaha menolak mudarat dari mereka!
Kita tidak menolak muhasabah batin atas segala kesalahan kita kepada Tuhan. Kita akuinya.
Namun, sesuai dengan ajaran Islan yang bercirikan keseimbangan, kita juga tidak patur pinggirkan aspek 'hukum Allah pada alam'.
Para pemimpin perlu muhasabah diri dari sudut perancangan masa depan sebagai ikhtiar mendepani bencana tahunan.
Dalam hal ini, Al Quran menceritakan cara Nabi Yusuf berikhtiar ketika mendepani bencana alam yang bernama kemarau. Kemarau itu 7 tahun berturut-turut.
Walaupun Nabi Yusuf memegang potfolio perbendaharaan dalam sebuah negara 'kafir', tapi menariknya Nabi Yusuf tidak terus menuduh punca kemarau adalah kesyirikan rakyat Mesir pada waktu itu.
Atas hikmah pengajaran dan keseimbangan membuat kesimpulan, Allah bawakan kisah ini dalam surah Yusuf.
Agar manusia berseimbang dalam muhasabah.
Agar manusia tahu, manusia masih mempunyai peluang berikhtiar ketika berhadapan dengan musibah, terutamanya musibah tahunan.




disebabkan point saudara ni sangat bernas, saya terus masukkan ke blog walaupun tugas saya cuma copy paste

No comments:

Post a Comment

KopyKanan milik pengemudi nakhoda kami