Sunday, 5 January 2014

Umat Islam dan Padang Bola





Kurang pasti kenapa tajuk ini dipilih tapi memang realiti aspek pemikiran dalam agama berkait rapat seperti sistem di atas padang bola.

Sebuah padang bola mengandungi dua buah tiang gol yang dikawal ketat oleh seorang penjaga gol serta dibantu oleh pemain pertahanan. Gerakan seterusnya pula dilakukan oleh pemain tengah dan pemain penyerang.

Begitulah gerakan dakwah dalam agama. Ada masa perlu bertindak membenteng, ada perlu keluar dari kepompong, mengambil alih 'penguasaan bola' lalu menyerang ke 'gol' pihak lawan.

Tetapi begitukah realitinya umat Islam yang kita lihat pada hari ini?
Apa yang dilakukan oleh umat Islam banyak berputar dalam kerja-kerja membenteng sahaja. Lihat saja, apa yang hanya mampu dilakukan adalah dengan menyekat buku itu, sekat buku ini, mengharamkan aliran itu dan ini, label melabel menjadi pemanis bibir seolah-olah tindakan inilah yang mampu menyelamatkan umat Islam dan penyebab kehebatan dan gahnya agama yang diyakini benar ini.

Sungguh defensive. Asyik membenteng dan membenteng sahaja dengan menyekat unsur lain yang menyerang pemikiran dan meresapi umat Islam, tetapi tidak pula mencuba keluar dan mara untuk menyebarkan kefahaman tentang Islam itu sendiri

Sedangkan dalam perlawanan bola sendiri kalau kita lihat, sejauh mana boleh bertahan dengan bermain defensive semata-mata, menerima serangan bertalu-talu tapi akhirnya pihak lawan berjaya bolos. Pihak yang tidak langsung memarakan bola ke tengah dan ke depan untuk menyerang pihak lawan akhirnya merudum kalah.

Jadi sejauh mana kefahaman tentang Islam ini disebarkan kalau kita asyik bermain secara membenteng, membina tembok semata-mata? Dan adakah umat Islam itu sendiri memahami prinsip agama yang selari dengan syariat sedangkan selama ini mereka hanya menerima agama secara makan suap, sejak dari sekolah diajar Islam agama yang benar, jangan percaya agama lain, fillem ini menyesatkan, buku ini liberal, siapa yang menonton, membacanya nescaya akan sesat. Tapi apakah org yang menerima suapan itu faham tentang Islam dan orang yang memberi suapan itu telah menerangkan dan membuktikan kebenaran agama Allah yg dibawa oleh baginda Rasulullah ini? Sungguh betapa ramai diluar sana (muslim /nonmuslim) yang gagal melihat Islam di kaca mata yang benar kerana umat Islam sendiri yang memberi gambaran salah mengenai Islam. Jadi salah siapa, mereka atau kita?

Sekarang ini sungguh jelas, umat Islam gagal memahami agama sendiri tapi sibuk menyesatkan orang lain, kerana apa? kerana memang diajar dan diasuh sedemikan yakni langkah dakwah adalah dengan membenteng dan bentengan menjadi semakin parah pula apabila dari menghalang agama lawan kepada menyesatkan sesama sendiri pula. Lalu bila pula pemahaman tentang Islam itu disampaikan?

Wahai Muslimin, bangkitlah, keluarlah dari kepompong bermain di kawasan pertahan, mari kita mara ke hadapan menyebarkan dakwah kita ke seberang pula. Tuntutlah ilmu sebanyak yang boleh untuk memahami agama ini dan sebarkan kefahaman yang benar tentang agama kita

Cukup-cukuplah bincang isu dalaman, sekarang tiba masanya untuk berfikir isu ummah yang lebih global
 




KopyKanan milik pengemudi nakhoda kami